iSLAM KULLIYYAH IBARAT AIR
Izinkan risalah ini dimulai dengan persoalan buat pembaca sekalian. Wahai saudara dan saudari harapan agama, adakah selama ini kita yakin dengan Islam yang ada dalam hati kita? Adakah kita yakin dengan amalan Islam yang kita lakukan? Adakah Islam yang kita laksanakan sekarang ini adalah Islam yang sebenarnya? Atau adakah Islam yang kita laksanakan kini hanyalah Islam yang hanya nampak di mata namun jauh sekali di hati sanubari?
Wahai sahabat dan sohibah kasihfillah, beribu persoalan yang bisa timbul di dalam kotak fikiran kita. Namun cukupkah hanya dengan memikirkan persoalan, tanpa memikirkan bagaimanakah ingin kita selesaikan persoalan lantas menemui jawapan. Sebagai umat Islam dan hamba Allah, dalam mengamalkan Islam, kia hendaklah mengambilnya di dalam semua aspek kehidupan. Ramai yang kata Islam is the way of life. Namun mengapa ramai yang hanya mengatakan pepatah Inggeris ini malangnya tidak menghayati malah masih tidak menjadikan Islam sebagai corak batik di dalam kehidupan. Ramai yang solat lima waktu, cukup, tetapi masih ramai yang tidak berakhlak. Ramai yang berakhlak namun masih ramai yang tidak menjaga khtilat.
Wahai ikhwan dan akhowat, ayuhlah kita lihat pada firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud “Masuklah ke dalam Islam secara menyeluruh”. Justeru, tidakkah terang lagi bersuluh bahawa mengamalkan Islam di dalam semua aspek, di dalam segenap penjuru adalah satu kewajipan dan keutamaan. Ikhwan dan akhowat, pengambilan Islam secara menyeluruh boleh diibaratkan seperti air. Islam seperti air yang mengalir menyusuri liku-liku sungai. Seperti yang kita maklum, air adalah satu elemen yang bersifat memenuhi ruang sebagaimana yang ditemukan dari hasil kajian para saintis. Justeru, air yang mengaliri sungai akan memenuhi kesemua ruang dan aliran yang terdapat sepanjang sungai tersebut. Hatta, walau terdapat batuan keras lagi besar yang menghalangi sungai, air ini akan tetap bekerjasama untuk melintasi batuan tersebut. Dan mana-mana aliran atau ruangan yang tidak terkena aliran air maka ia akan kering dan di huni oleh serangga dan tumbuhan yang menutupi aliran tersebut. Maka, jika semakin banyak ruangan yang ditutupi tumbuhan dan semak samun dek kerana tiadanya aliran air di sana, maka lama kelamaan aliran air sungai akan terhenti. Malah sungai tersebut tidak lagi membenarkn air untuk melaluinya. Akhirnya, sungai yang dulu indah sudah bertukar menjadi semak, belukar yang sudah dihuni oleh hidupan liar dan tumbuhan yang menjalar. Kenapa? Kerana terdapat ruangan pada sungai tersebut yang asalnya tidak dialiri oleh air. Subhanallah, begitulah analogi serba ringkas dapat ana kongsikan bersama antum dan khususnya buat penulis sendiri insan dhaif. Maka, ikhwan dan akhowat sekalian, mahukah kita Islam yang kita anuti sekarang tertimbus oleh sikap kita sendiri yang hanya mengambil Islam secara Juz’iyyah? Mahukah kita terdapat aspek dan ruang kehidupan kita yang tidak dialiri oleh Islam? Ingatlah, andai ruangan dalam hidup kita ini kering dari dibasahi dakwah dan tarbiyah serta keindahan Islam, natijahnya akan menyebabkan semak samun jahiliyyah tumbuh lantas menjangkiti aspek kehidupan yang lain lantas menjadikan Islam kita lemah. Akhirnya, Islam terkubur di bawah belukar yang sempit dan terkandungnya kerakusan nafsu dan juga amalan yang tidak lagi diselitkan Sunah Baginda mulia..nauzubillah..Oleh itu, para sahabat dan sohibah sekalian, ayuh kita isikan Islam di dalam setiap ruang hidup, agar keindahan Islam tampak di mata dunia lantas menjadikan kilauan yang menusuk ke dalam hati setiap insan. Amalkanlah Islam secara kulliyyah(menyeluruh) kerana inilah Islam yang sebenar, Islam yang dianuti oleh para pejuang dakwah terdahulu dan juga para Nabi dan Rasul mulia. Islam kulliyyah inilah yang akan menghadirkan kesedaran dan kemanisan dalam iman dan Islam itu sendiri. Lantas menjadikan kita bersemangat tuk terus menyebarkan dakwah dan tarbiyah di bumi Malaysia ini khususnya…subhanallah.
